Isu-isu Semasa Tentang Etika Guru Dan Hak Asasi Manusia (KPPB: EDUP2132 dan EDUP2112)

1.0 Pengenalan

Profesion keguruan adalah profesion yang mulia, dihormati dan dikagumi ramai. Guru sentiasa akan diingati oleh muridnya sehingga akhir perkhidmatan mereka. Profesion Ini mempunyai nilai moralnya sendiri, di mana guru dianggap sebagai segalanya. Dalam profesion perguruan, baik di institusi dan masyarakat, guru perlu berkomunikasi dan hidup antara satu sama lain. Oleh itu, adalah perlu untuk mewujudkan satu sistem sebagai panduan bagi guru untuk membuat guru saling menghormati, bersikap sopan, mengambil berat tentang kerjaya dan menguruskan kehidupan mereka dengan baik. Ini akan mewujudkan etika guru, yang mempunyai peraturan perilaku, adat istiadat dan penegasan yang benar dan salah di dalam masyarakat kita.

    Untuk mengekalkan imej yang profesional, setiap guru harus mematuhi etika profesional, etika pengajaran, etika tingkah laku dan etika perkhidmatan awam (Abd. Rahim, 2007). Namun, kerana faktor-faktor tertentu menyebabkan guru melakukan tingkah laku yang tidak beretika dan bertentangan dengan prinsip moral yang diamalkan sebagai penjawat awam.

 

2.0 Isu-isu Semasa Etika Guru dan Hak Asasi Manusia

Antara isu-isu etika guru yang akan dibincangkan adalah kesantunan guru, kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan kerjaya sambilan guru.

 



 

2.1 Isu Kesantunan Guru

Kesantunan merujuk kepada tatacara, adat atau perlakuan yang mampu menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain yang menjadikan sesuatu pergaulan itu berada dalam keadaan harmoni dan mesra.

Contoh isu:

Berikutan dengan isu kesantunan guru, beberapa kes berkenaan telah didapati berlaku. Antara contoh-contoh yang telah didapati adalah bertajuk “Dendam punca dua guru wanita bergaduh” seperti dalam Berita Harian pada 21 Februari 2005. Berdasarkan berita tersebut, pergaduhan membabitkan dua orang guru wanita yang dipercayai berpunca daripada dendam lama. Pergaduhan berlaku di hadapan kira-kira 800 orang pelajar dalam satu perhimpunan mingguan sekolah berkenaan. Mereka dikatakan bertumbuk dan saling bertarik rambut, sebelum dileraikan oleh ibu bapa murid yang kebetulan turut berada di situ selepas menghantar anak mereka ke sekolah.

 

Cara Mengatasi: 

Kedua kejadian ini menunjukkan kedua-dua orang guru berkenaan gagal mematuhi dan mempamerkan ciri-ciri kesantunan yang sepatutnya ada pada seorang guru. Guru perlu bijak mencari jalan penyelesaian termasuk tidak membawa masalah peribadi ke tempat kerja sehingga gagal untuk mengawal emosi dan tingkah laku ketika bertugas, khususnya di hadapan pelajar. Guru seharusnya menjadi role model dan wajib mempamerkan perlakuan yang santun menerusi kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan peraturan berbahasa dan mengawal tingkah lakunya.

 

2.2 Isu Kepedulian Guru

Mengikut Hall, George dan Rutherford (1977), kepedulian didefinisikan sebagai perwakilan komposit perasaan, pemikiran dan perhatian yang diberi terhadap sesuatu isu atau tugas. Manakala Van den Berg dan Ros (1999) mengkonsepsikan kepedulian sebagai persoalan-persoalan, keraguan dan kemungkinan tentangan pihak guru apabila menghadapi situasi baharu atau tuntutan yang kian mencabar. Maka, dapat disimpulkan bahawa kepedulian guru merujuk kepada gabungan perasaan, pemikiran dan perhatian yang diberi oleh guru terhadap isu yang dihadapi semasa melaksanakan tugasnya.


Contoh Isu:

Mengikut Sinar Harian pada 7 Mac 2012, 7 pelajar lelaki tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di Ipoh telah dipukul oleh sekumpulan pelajar senior di kawasan sekolah akibat selisih faham. Manakala, mengikut Berita Harian pada 7 Mac 2011, terdapat seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun parah dibelasah oleh sekumpulan pelajar lain yang bertindak ala samseng. Mereka telah membawa mangsa keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar. Kejadian masalah ini berkait rapat dengan isu kepedulian guru. Guru berkenaan langsung tidak menanyakan keadaan mangsa apabila dipapah masuk kelas semula oleh pelajar lain. Guru di sekolah turut gagal memberi rawatan kecemasan kepada mangsa setelah kejadian berlaku.


Cara Mengatasi: 

Kejadian-kejadian di atas menunjukkan tahap kepedulian guru berkenaan terutamanya terhadap pelajarnya adalah rendah. Guru sepatutnya sentiasa memastikan kepentingan keselamatan pelajar dan mengambil berat terhadap perkembangan pelajar. Guru juga seharusnya sedar akan tahap kecederaan yang berlaku ke atas pelajarnya serta mementingkan keselamatan pelajar di sekolah. Lanjutan daripada kesedaran yang dihadapi, guru perlu mengambil tindakan dengan menghantar pelajar tersebut ke hospital dengan segera

 

2.3 Isu Penampilan Guru

Penampilan guru dirujuk kepada ciri-ciri peribadi yang dimiliki oleh guru termasuklah sikap, kepercayaan, minat, apresiasi dan nilai-nilai. Steward (2005) mendefinisikan penampilan sebagai tret-tret perwatakan dan personaliti yang dianggap perlu untuk kerjaya sebagai guru. Tret-tret termasuklah aspek–aspek tanggungjawab, kebergantungan, kreativiti, empati dan profesionalisme.  Howard (2007) telah menghuraikan empat ciri utama yang merangkumi penampilan guru serta sahsiah yang secara signifikannya dapat menghasilkan hasil pembelajaran yang lebih baik. Keempat-empat ciri tersebut terdiri daripada penampilan untuk perbezaan, dialog, disilusi dan demokrasi.

 

Contoh Isu:

Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, memang tidak dapat dinafikan didapati segelintir guru mengajar dengan berpusatkan guru. Guru bersifat diktator dan langsung tidak akan memberi peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat dan menghadkan kebebasan pelajar untuk membuat keputusan sendiri sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.


Cara Mengatasi:

Dalam situasi seperti ini, guru seharusnya bersifat terbuka dan mengambil kira keperluan pelajar. Sifat terbuka perlu dimiliki oleh guru dan bersifat demokratik. Ini adalah penting kerana sekirana pelajar dididik dalam persekitaran yang bebas dan berpeluang untuk membuat keputusan sendiri mampu untuk merangsang pemikiran kritis dan kreatif serta bersikap berdikari. Pelajar sedemikian akan berjaya dan lebih bersedia untuk masyarakat yang kian berubah.

 

2.4 Isu Berniaga di Sekolah

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi keempat, berniaga bermaksud menjual barang sebagai pekerjaan, berjual beli dan berdagang. Perniagaan bermaksud perihal urusan jual beli yang melibatkan barangan dan bertujuan untuk mencari keuntungan. Ia juga melibatkan produk ataupun perkhidmatan kepada pelanggan. Bidang perniagaan sememangnya mempunyai ruang di mana-mana sahaja baik di tempat kerja atau di bilik guru. Bilik guru ialah kawasan perniagaan yang lazim diperhatikan.

Contoh isu:

Berdasarkan pemerhatian dan bacaan daripada akhbar, pelbagai jenis perniagaan sememangnya telah dijalankan di sekolah. Ramai juga guru yang terlibat dalam peringkat di sekolah sama ada secara terus atau sistem MLM (Multi level marketing) iaitu menjual produk kesihatan, kuih-muih, minuman berkhasiat, mengambil tempahan pakaian dan kasut, menjual barangan perhiasan, wangian dan sebagainya. Guru-guru berkenaan akan menggunakan masa sebelum mengajar dan juga masa rehat untuk mempromosikan produk yang mereka jual seperti Cosway, Tupperware, Avon, Cael Deon, Satinni, Amway dan sebagainya.

Cara Mengatasi:

Untuk mengatasi masalah ini, pihak pengurus sekolah harus mengambil tindakan. Guru terikat dengan Perintah Am yang mengawal tingkah laku dan etika pekerja dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, pihak pentadbir harus memainkan peranan dengan memberikan teguran dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap guru-guru sedemikian yang menjejaskan imej profesion keguruan. Jika didapati keadaan berleluasa dan telahpun menganggu tugas mengajar, maka Guru Besar harus memberi amaran dengan tegas. Jika guru berkenaan masih degil dan tidak menerima nasihat, maka Guru Besar harus melaporkan keadaan ini kepada Bahagian Pendidikan Guru agar hukuman tatatertib seperti gantung perkhidmatan dan perlucutan jawatan dapat dilaksanakan.

2.5 Isu Kerjaya Sambilan

Guru yang melakukan kerjaya sambilan memberi kesan utama terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka ini tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi merancang dan bersedia untuk proses pengajaran dan pembelajaran kerana terpaksa menguruskan hal-hal berkaitan kerjaya sambilan mereka. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan hubungan kerjasama dengan rakan-rakan sejawat dalam melaksanakan tugas-tugas di sekolah yang memerlukan kerjasama di antara pentadbir dengan guru, guru dengan guru dan sebagainya.


Contoh Isu semasa:

Satu berita yang bertajuk “Guru SMK Bum Bum Mengajar atau Berniaga?” turut dipaparkan di laman Sabah kini pada 21 Mac 2010. Dua orang guru dari Pekan Lepa-lepa Semporna telah dilaporkan membuka warung secara haram di Simpang Jalan Taman Sempaul pada waktu malam sehingga pukul tiga pagi. Akibatnya, murid-murid mereka sering mengulangi dialog dalam filem P. Ramlee iaitu “Hari-hari Cikgu Tidur” disebabkan guru-guru berkenaan letih berjaya hampir tiga suku malam. Jelaslah bahawa dua orang guru tersebut telah melanggar tatatertib pegawai kerajaan kerana kerja sambilan mereka telah menjejaskan kerja mengajar dan kebajikan murid yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Cara mengatasi:

Untuk mengatasi masalah ini, pihak pengurusan haruslah mengambil tindakan untuk membendung isu semasa ini. Menerusi surat pekeliling perkhidmatan Bil.1 tahun 1999 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Jabatan diberi kuasa untuk membuat pemantauan terhadap yang berkenaan dengan kerja sambilan. Ketua Jabatan harus sentiasa memantau guru-guru yang mempunyai kerja sambilan untuk memastikan mereka dapat melaksanakan kerja dengan baik dan kerja sambilan mereka ini tidak menjejaskan tugas mereka di sekolah. 

    Sehubungan itu, Guru Besar juga harus masuk kelas untuk memantau prestasi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah untuk memastikan guru membuat persediaan dengan rapi dan melaksanakan kewajipannya dengan serius. 

    Selain itu, pihak sekolah juga harus meningkatkan kekerapan pemantauan untuk memastikan guru-guru yang melakukan kerja sambilan dengan mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu tidak mengajar kelas tuisyen melebihi enam jam seminggu.

 

2.6 Isu Pengurusan Masa

Pengurusan masa merupakan proses peribadi dan mesti bersesuaian dengan gaya dan keadaan diri sendiri. Pengurusan masa merupakan satu disiplin diri bagi seseorang guru. Good (1973) telah mentakrifkan pengurusan masa sebagai perancangan masa yang berkesan sama ada secara harian, mingguan atau jangka masa panjang untuk memberikan masa bagi aktiviti kuliah, belajar, riadah, tanggungjawab peribadi dan rehat.

 

Contoh isu semasa:

Antara contoh-contoh isu pengurusan masa yang sering berlaku di kalangan guru di sekolah adalah guru lewat masuk kelas tanpa sebab yang munasabah terutamanya pada waktu pertama, waktu pertukaran kelas dan waktu selepas rehat. Kejadian ini sering ditegur dan diberi amaran oleh Guru Besar semasa mesyuarat sekolah. Selain itu, terdapat juga segelintir guru yang gemar menggunakan masa di sekolah dengan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan pendidikan misalnya melayari facebook, ber”chatting”, bergosip dengan rakan sejawat, melepak di kantin sekolah dan sebagainya. Semua perbuatan ini bukan sahaja membazirkan sumber kerajaan, malah menjejaskan juga produktiviti kerja mereka.


Cara Mengatasi:

Menyedari akan kesan yang akan menimpa jika isu pengurusan masa tidak dibendung, maka semua pihak mahupun pihak pentadbir, rakan sejawat dan guru sendiri harus bekerjasama dan mengambil peranan dalam hal ini. Guru Besar haruslah menjadi teladan yang baik kepada semua guru dan kakitangan sekolah. Pihak pentadbir juga harus sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan guru tidak menyalahgunakan masa dan masuk kelas dengan menepati masa. Pihak pentadbir juga harus mengenal pasti dan bersedia memberikan khidmat nasihat kepada guru yang bermasalah, mengambil tindakan tegas dengan memberi amaran dan mengenakan tindakan tatatertib kepada guru terlibat jika masalah dilakukan adalah serius dan berulang. Dengan cara ini, guru-guru akan sedar kesilapan diri dan tidak akan mengulanginya lagi.

 

2.7 Isu Pengurusan Kewangan

Pengurusan kewangan adalah proses yang melibatkan jentera pentadbiran dan kaedah-kaedah di mana dana untuk membiayai perbelanjaan awam diperolehi, dibelanja dan diperakaunkan. Pengurusan kewangan adalah salah satu aspek pengurusan sekolah yang penting memandangkan peruntukan belanjawan kerajaan yang begitu banyak diberi kepada sektor pendidikan pada setiap tahun.

 

Contoh isu semasa:

Antara isu pengurusan kewangan yang wujud adalah tentang kutipan wang Sumber Wang Awam (SUWA) pada awal tahun. Wang SUWA merupakan kutipan awam dan punca kewangan yang boleh diambil kira termasuk yuran pelajar, derma, sumbangan orang ramai, sewa harta sekolah seperti kantin, bas dan pelbagai hasil jualan daripada projek-projek sekolah. Hal ini kerana guru menghadapi masalah pengeluaran resit yang berasingan bagi setiap item yuran tersebut. Guru juga mengambil masa yang lama untuk menguruskan kewangan murid kerana ada murid yang lewat membayar yuran menyebabkan guru harus menyimpan wang itu dahulu dan lewat menyerahkan wang tersebut ke pejabat. 

    Selain itu, sejak kebelakangan ini, semakin banyak isu mengenai penyalahgunaan kewangan di kalangan guru disiarkan dalam media massa. Contohnya guru rasuah akibat mengeluarkan invois palsu. Berdasarkan Berita Harian pada Ogos 2008, seorang guru yang berusia 43 tahun telah ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kuching atas dakwaan mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu.

 

Cara mengatasi:

Masalah ini jika dibiarkan berleluasa akan menyebabkan kesan yang amat buruk. Menyedari hakikat ini, maka langkah yang sesuai perlu diambil untuk mengatasi masalah ini. Pertama, pihak pentadbir sekolah perlu mempertingkatkan lagi sistem pemantauan dan susulan supaya pengurusan kewangan lebih berkesan dan cekap. 

    Pihak pentadbir seharusnya sentiasa memeriksa buku tunai dan buku resit bagi mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan wang sekolah. Seterusnya, Guru Besar hendaklah mengambil tindakan segera terhadap kelemahan yang dibangkitkan, membuat pemantauan rapi terhadap guru-guru di bawah jagaan bagi memastikan mereka memahami undang-udang dan pekeliling kewangan. 

    Guru juga harus menerapkan nilai-nilai positif seperti akauntabiliti, telus, amanah dan tanggungjawab dalam diri mereka. Guru Besar juga hendaklah peka terhadap teguran dan nasihat Audit agar dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan kewangan di sekolah.

 
3.0 Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, guru sebagai penjawat awam perlu berpegang teguh kepada kod etika yang telah digariskan. Isu-isu perlanggaran kod etika keguruan perlu dibendung daripada terus menular kerana ianya membawa kesan yang buruk terhadap profesion keguruan, pembangunan modal insan dan masa depan anak bangsa. Adalah amat diharapkan agar guru-guru tidak akan melanggar etika perguruan kerana ia merupakan landasan yang menuju kepada tingkahlaku yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Selain daripada itu, pematuhan etika perguruan akan meningkatkan martabat guru-guru Malaysia.

 

Comments

Popular posts from this blog

Pengajaran dan Pembelajaran ERD (Entiti Relationship Diagram) Menggunakan Media Interaktif (KPPB: SKSM2093, SKSM2073 dan EDUP2112)